
“Kami mendesak SC mengumumkan secara terbuka penemuan siasatan dan bagaimana mereka mencapai kesimpulan yang tidak pasti,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Cynthia Gabriel kepada FMT.
“Ia sekali gus membuktikan pendirian kami dari awal lagi bahawa hanya siasatan penuh dan bebas perlu dilaksanakan, selain mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran mengikut undang-undang dan pekeliling pengisytiharan aset penjawat awam, termasuk mendedahkan sumber dana diperoleh,” katanya.
Sambil menyifatkan negara ini “terjerumus ke lembah kegelapan lebih dalam”, Gabriel turut mencadangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, segera menubuhkan jawatankuasa kerja tertinggi menyiasat isu berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann, berkata SC perlu menjelaskan mengapa siasatan mereka tidak mencapai konklusif.
“SC mesti mengelak daripada menimbulkan rasa curiga orang ramai bahawa tekanan sudah dikenakan ke atas agensi terbabit.
“Susulan dakwaan dikenakan terhadap SC berhubung konflik kepentingan dalam kalangan pegawai tertinggi selepas mereka mengatakan akan menyiasat Azam, orang awam akan mula syak SC sudah berada dalam tekanan untuk menutup kes,” katanya.
SPRM minggu lalu, mengesahkan menerima aduan mendakwa berlakunya salahguna dan rasuah dalam kalangan individu tertentu dalam pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah SC, di mana sumber memberitahu Utusan Malaysia, SPRM sedang “menyemak” aduan sebelum melakukan siasatan.
Azam, pemimpin tertinggi negara dalam memerangi rasuah, didakwa melakukan pemerolehan saham bernilai jutaan ringgit, termasuk waran dalam syarikat senaraian awam, walaupun had RM100,000 dikenakan bagi penjawat awam untuk memiliki ekuiti dalam syarikat.
Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua Bahagian Siasatan SPRM.
Dalam sidang media pada 5 Jan lalu, Azam berkata, dia telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun banknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.
Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang juga menjelaskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan berkait pembelian saham berkenaan.
Hari ini, SC memaklumkan tidak menemui kepastian muktamad bahawa Azam melakukan kesalahan berhubung isu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai pada 2015-2016.
Dalam kenyataan ringkas, SC menyatakan ia telah menjalankan siasatan dan berdasarkan bukti yang ada “SC tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).”
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki, yang dijadual akan melakukan demonstrasi di ibu negara, pada Sabtu, menuntut penahanan Ketua SPRM itu, dan mereka akan berterusan melakukan desakan penangkapan segera ke atas Azam.
“Beliau berada di kedudukan yang boleh meletakkan tekanan ke atas sesiapa sahaja yang mempersoalkan dirinya, termasuk terhadap badan penyelia mahupun media,” katanya kepada FMT.
“Azam sepatutnya ditangkap demi memastikan rakyat kekal mempunyai keyakinan berhubung proses perundangan,” katanya.