
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata pihaknya tidak sama sekali akan mencampuri bidang kuasa pihak polis dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Semua pihak diminta akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci. Ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terkait dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan juga perlu dihentikan.
Kenyataannya itu selepas Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa supaya beliau memandang serius perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi kehakiman syariah susulan dakwaan terhadap hakim kanan terbabit.
Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam, memuat naik video mendakwa seorang hakim kanan itu terbabit dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita.
Hakim terlibat bagaimanapun kemudian menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada Lokman selain turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bagi menggesa siasatan dilakukan.