Bot disyaki bawa PATI karam, 6 selamat, 7 hilang

Bot disyaki bawa PATI karam, 6 selamat, 7 hilang

Menurut APMM Johor, enam mangsa terbabit diselamatkan bot nelayan tempatan di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar.

Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 10.20 pagi tadi dan mengatur gerak sebuah pesawat AW139 dan bot KILAT 12 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang hilang. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Sekurang-kurangnya enam warga Indonesia disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui selamat, manakala tujuh lagi dilaporkan masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pontian, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata, enam mangsa terbabit diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar.

“Berdasarkan maklumat awal mangsa terselamat, bot dinaiki membawa lebih kurang 13 penumpang termasuk tekong karam dipukul ombak kuat semasa cuba memasuki negara ini.

“Namun dikatakan tujuh lagi mangsa masih hilang di laut,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Hizam berkata, enam mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 10.20 pagi tadi dan mengatur gerak sebuah pesawat AW139 dan bot KILAT 12 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.