‘Konspirasi jatuhkan saya,’ ADUN Sedili nafi lakukan gangguan seksual

‘Konspirasi jatuhkan saya,’ ADUN Sedili nafi lakukan gangguan seksual

ADUN Sedili Rasman Ithnain, berkata beliau juga telah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan imejnya sebagai wakil rakyat.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain berkata, tuduhan beliau ke atasnya adalah konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai wakil rakyat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor menafikan laporan mendakwa beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain menyifatkan tuduhan ke atasnya adalah konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai wakil rakyat.

“Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan di dalam laporan dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalar reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.

“Saya juga bersedia memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam kenyataan mengulas laporan polis dibuat wanita terbabit.

Rasman berkata, beliau telah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan imejnya sebagai wakil rakyat.

“Saya dengan ini menegaskan bahawa konspirasi politik seperti ini tidak akan sesekali melemahkan semangat saya untuk berjuang dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya melalui mandat rakyat,” katanya.

Terdahulu polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada wanita terbabit di Balai Polis Kota Tinggi pada 11.30 pagi Isnin.

Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

Wanita itu, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.