Wanita rugi lebih RM130,000 terpedaya pertandingan teka bola sepak

Wanita rugi lebih RM130,000 terpedaya pertandingan teka bola sepak

Mangsa wanita berusia 53 tahun menyertai pertandingan itu menerusi aplikasi diperkenalkan rakannya.

Mangsa membuat bayaran sebanyak enam kali transaksi ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000.
JEMPOL:
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta kerugian RM132,000 selepas terpedaya akan mendapat pulangan keuntungan mengikut kadar dijanjikan dalam pertandingan teka bola sepak secara dalam talian, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook, berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, wanita berumur 53 tahun terpengaruh untuk menyertai pertandingan berkenaan menerusi aplikasi yang diperkenalkan oleh rakannya ketika berada di rumah di Jalan Tampin, Bahau.

Tertarik dengan tawaran keuntungan 2% mengikut modal yang dimasukkan bagi setiap teka perlawanan bola sepak itu, wanita berkenaan membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi tersebut untuk menyertai pertandingan.

“Wanita itu membuat bayaran sebanyak enam transaksi pada hari sama ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata semalam, wanita itu cuba mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut namun akaun berkenaan tidak dapat berfungsi selain mendapati baki modal pada akaunnya telah tiada.

Katanya, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi “Check Scammers CCID” bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.