MB Johor tak tolak keperluan adakan PRN

MB Johor tak tolak keperluan adakan PRN

Kerajaan Johor kini memerintah dengan hanya kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi.

Hasni Mohammad berkata, Johor ketika ini memiliki majoriti tipis, tetapi pembubaran DUN tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad tidak menolak keperluan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), tetapi menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Ketua Umno Johor itu berkata, apabila kerajaan negeri memiliki majoriti amat tipis, pihaknya perlu lebih sensitif terhadap kestabilan kerajaan.

“Mengenai keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak. Kita perlu kaji dan perlu tengok perkara terbabit. Suara daripada pelbagai pihak tidak boleh diabaikan.

“Tidak boleh menganggap semua bersetuju atau menggunakan bentuk kaedah untuk mencapai keputusan.

“Kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenang-wenangnya menasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bubar DUN. Ia ada peraturannya, ada syarat-syaratnya. Jadi, ini harus dipatuhi dan tidak boleh sesuka hati nak mengisytiharkan atau menasihat bubar ke tidak payah bubar dan sebagainya.

“Saya akan berpegang kepada peraturan yang ditetapkan undang-undang kerajaan negeri (Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri) dan keperluan yang sudah ditetapkan,” katanya dipetik Harian Metro ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah yang meminta beliau menamatkan spekulasi sama ada PRN Johor akan diadakan.

Hasni juga enggan mengesahkan desas-desus PRN Johor akan diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya kira justifikasi kenapa PRN itu perlu diadakan lebih penting daripada bila ia patut diadakan,” katanya.

Ditanya sama ada Umno Johor sudah mengadakan perbincangan mengenai PRN Johor, beliau berkata, sehingga kini belum ada.

Spekulasi berhubung PRN Johor timbul susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Osman Sapian, daripada Bersatu pada 21 Dis lalu yang menyaksikan kerajaan negeri kini memerintah dengan hanya kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi yang terdiri daripada Umno dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.