Speaker ada kuasa mulakan prosiding terbuka, kata pengerusi PAC

Speaker ada kuasa mulakan prosiding terbuka, kata pengerusi PAC

Wong Kah Woh berkata, Azhar Azizan Harun mempunyai kuasa memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat, yang menurutnya tidak membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menjalankan prosiding terbuka.

Kenyataan Azhar Azizan Harun bahawa prosiding tertutup bertujuan memastikan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak yang terlibat adalah “tidak masuk akal”, kata Wong Kah Woh.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempunyai kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat Parlimen agar inkuiri berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dapat dibuat secara terbuka buat orang ramai, kata Wong Kah Woh.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu mengulas kenyataan Azhar semalam bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu tidak terbuka kepada orang ramai disebabkan Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Azhar berkata, peraturan mesyuarat yang diguna pakai bagi semua prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak membenarkan prosiding terbuka.

Dalam kenyataan pagi ini Wong berkata: “Speaker silap. Beliau mempunyai kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat Parlimen dengan merujuk perkara yang sama kepada Dewan untuk membuat keputusan menurut Peraturan Mesyuarat 90(2).

“Dengan penggantungan Peraturan Mesyuarat 85, mana-mana prosiding Jawatankuasa Parlimen boleh disiarkan secara dalam talian dan terbuka kepada orang ramai,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu juga menyifatkan kenyataan Azhar bahawa prosiding tertutup bertujuan memastikan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak yang terlibat sebagai “tidak masuk akal”.

“Pertama sekali, semua saksi terikat dengan tanggungjawab untuk memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa dan akan menjawab semua soalan yang dikemukakan semasa prosiding.

“Kedua, sesiapa yang memberi jawapan palsu bukan sahaja melakukan penghinaan terhadap Dewan tetapi juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 20 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.

Beliau berkata, semua nota prosiding direkodkan dalam hansard dan diterbitkan bersama laporan jawatankuasa itu.

“Prosiding tertutup tidak menjamin kejujuran saksi secara automatik dan prosiding terbuka tidak bermakna saksi boleh mengelak daripada bercakap benar. Tidak ada bezanya dalam isu kandungan keterangan, sama ada prosiding tertutup atau terbuka.

“Tujuan penubuhan PSC bukan sebagai hiasan semata-mata tetapi sebagai langkah serius ke arah reformasi Parlimen. Reformasi Parlimen tidak akan lengkap jika kita masih mengadakan prosiding tertutup.

“Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen pada 2019 memutuskan bahawa semua prosiding Jawatankuasa Parlimen akan didedahkan kepada umum dan keperluan peralatan untuk prosiding secara langsung semuanya tersedia di saluran TV Parlimen Malaysia,” katanya.

Wong berkata, “semangatnya adalah agar semua prosiding Jawatankuasa Parlimen didedahkan kepada umum, melainkan bagi kes yang melibatkan keselamatan negara”.

“Apabila membabitkan subjek yang begitu penting, kenapa Speaker masih teragak-agak untuk (membenarkan) prosiding terbuka bagi membolehkan orang ramai melihat, menilai dan meneliti keterangan yang diberikan oleh saksi?” soalnya.

“Orang awam ada hak untuk tahu. Ini adalah isu penting melibatkan pegawai tertinggi yang mempertaruhkan integriti SPRM. Sudah tiba masanya Speaker memastikan semua Jawatankuasa Parlimen dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan untuk memeriksa eksekutif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.