
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin menggesa Pengerusi PAC, Wong Kah Woh meminta maaf kepada Speaker dan orang ramai.
Beliau mengibaratkan Wong “menambah gula dan garam” dalam menafsir Peraturan Mesyuarat 90(2), atau mungkin tidak cukup memahaminya untuk memberikan tafsiran betul.
Ini susulan kenyataan Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, bahawa Speaker mempunyai kuasa menggantung Peraturan Mesyuarat berkaitan prosiding PSC.
“Saya terkejut membaca bagaimana seorang Ahli Parlimen pembangkang mampu salah tafsir Peraturan Mesyuarat, atau berpura-pura menyalahertikannya bagi memperdaya orang awam,” kata Mongin.
Beliau berkata, Peraturan Mesyuarat 90(2) jelas tidak memberi Speaker budi bicara untuk menggantung Peraturan Mesyuarat berkaitan prosiding PSC dan ia tidak memberi hak kepada Speaker untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Untuk membolehkan perintah digantung, katanya, seorang Ahli Parlimen terlebih dulu perlu membangkitkan soalan di Dewan Rakyat yang ada dalam budi bicara Speaker untuk diundi.