Mesyuarat Jawatankuasa Parlimen bincang isu saham Azam Baki ditangguh

Mesyuarat Jawatankuasa Parlimen bincang isu saham Azam Baki ditangguh

Ahli PSC bagi agensi bawah Jabatan Perdana Menteri, William Leong Jee Keen memberitahu ia baharu sahaja dimaklumkan tengah hari tadi menerusi surat dikeluarkan Parlimen.

Satu surat pemakluman mengenai penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membincangkan isu Azam Baki dan pemilikan saham dikeluarkan oleh Parlimen, menurut William Leong Jee.
PETALING JAYA:
Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) yang sepatutnya dijadualkan berlangsung lusa bagi membincangkan isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan pemilikan saham syarikat tersenarai, ditangguhkan.

Menurut surat dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, penangguhan mesyuarat itu dibuat berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen.

Ahli PSC bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, William Leong Jee Keen, berkata ia baru sahaja dimaklumkan tengah hari tadi.

“Mesyuarat itu batal, saya baru dapat makluman tentang perkara itu dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat.

“Pergi tanya mereka, kenapa mesyuarat itu dibatalkan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

William berkata, pihaknya akan membuat perbincangan secara lebih mendalam bersama pengerusi dan ahli jawatankuasa tersebut tentang perkara itu dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga antara anggota jawatankuasa itu dilaporkan berkata, beliau menerima notis pengesahan daripada Setiausaha Dewan Rakyat bahawa mesyuarat itu akan diadakan pada Rabu (19 Jan) 2 petang di Parlimen.

“Pagi ini menerima pengesahan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipanggil pada 19 Januari 2022 (Rabu), 2 petang di Parlimen.

“Isu yang akan kami bincang: isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya di Facebook.

Jawatankuasa itu diketuai Ahli Parlimen PAS Abdul Latiff Abdul Rahman, sementara ahli lain termasuk Ahli Parlimen Umno, Tajuddin Abdul Rahman dan Nizar Zakaria; Anyi Ngau daripada Gabungan Parti Sarawak; Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS); manakala Pakatan Harapan diwakili William Leong dan Khoo Poay Tiong; serta Azis Jamman daripada Warisan.

Pada 9 Jan, ahli PSC berkenaan, iaitu Chan Foong Hin, Khoo Poay Tiong, Azis dan William, mengeluarkan kenyataan bersama mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilihat membela Azam.

Mereka mendakwa Wan Junaidi seolah-olah memperkecilkan skandal yang dikaitkan dengan Azam apabila menyatakan nilai saham pada masa pembeliannya mampu dibeli oleh individu nombor satu SPRM itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.