‘Main belakang’, orang ramai faham kenyataan ‘homoseksual’ KJ terhadap Anwar, kata peguam

‘Main belakang’, orang ramai faham kenyataan ‘homoseksual’ KJ terhadap Anwar, kata peguam

Peguam Gopal Sri Ram berkata kenyataan itu dibuat dalam perhimpunan orang Melayu dan Umno ketika ceramah di Lembah Pantai pada 2008.

Khairy Jamaluddin menyerang Anwar Ibrahim dan orang ramai ketawa apabila nama Anwar disebut, kata peguam Gopal Sri Ram.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan diberitahu, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memfitnah Anwar Ibrahim apabila membayangkannya sebagai seorang homoseksual dan bermoral rendah dari perspektif orang Melayu.

Peguam Gopal Sri Ram berkata, kenyataan “main belakang” oleh Khairy dibuat dalam perhimpunan orang Melayu dan Umno ketika ceramah di Lembah Pantai pada 2008 dan beliau tidak berucap kepada warga asing.

“Khairy berucap kepada kumpulan yang memahami konteks rujukan terhadap Anwar itu,” kata Sri Ram dalam hujahnya di depan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Lee Swee Seng.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Khairy menyatakan pakatan pembangkang ketika itu merangkumi PAS, DAP dan PKR melakukan perkahwinan muta’ah seperti diamalkan mazhab Syiah untuk menghalalkan maksiat.

Sri Ram berkata, ketika ucapan itu dibuat, Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pemandu peribadinya Azizan Abu Bakar oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.

“Khairy menuduh Anwar sebagai peliwat dan bersalah atas kesalahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, Khairy turut berucap kepada perhimpunan orang Muslim bermazhab Shafie manakala rujukan dibuat kepada golongan Syiah yang ajarannya dianggap menyeleweng di negara ini.

“Beliau menyerang Anwar dan kumpulan orang ramai ketawa apabila nama Anwar disebut,” katanya dalam prosiding yang diadakan secara maya.

Menurutnya, hakim perbicaraan memahami konteks kata-kata itu dan tidak melihatnya secara berasingan.

Sementara itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang hadir bagi pihak Khairy berkata, hakim terlibat “terlebih menganalisis kenyataan berkenaan dari perspektif orang biasa”.

Katanya, kenyataan Khairy itu semata-mata satu metafora untuk mengatakan Anwar menyatukan pembangkang.

“Anwar menerima cadangan ini apabila disoal balas ketika perbicaraan,” katanya.

Shafee berkata, Anwar tidak membawa saksi selain dirinya sendiri untuk menyokong dakwaan bahawa Khairy telah memfitnahnya.

Katanya, tidak salah apabila mereka yang berhimpun mendengar ucapan itu ketawa kerana Khairy semata-mata menegaskan bahawa Anwar tidak boleh dipercayai dari segi politik.

Selain itu katanya, wujud pembelaan justifikasi dalam kenyataan Khairy kerana perkara itu turut dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya pada 2004.

Pada September 2004, hakim Abdul Hamid Mohamad dan Allahyarham Tengku Baharuddin Shah Tengku Mahmud dalam penghakiman majoriti membenarkan rayuan Anwar. Hakim Rahmat Hussain memberikan penghakiman bertentangan.

Panel turut membenarkan rayuan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dipenjarakan enam tahun atas kesalahan sama.

Shafee berkata, Hamid dalam penghakimannya mengatakan mahkamah menemui bukti yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma) terlibat dalam aktiviti homoseksual malah mahkamah cenderung percaya kejadian yang didakwa berlaku di Tivoli Villa memang terjadi.

Pada 2017, hakim Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar kepada Anwar ganti rugi berjumlah RM150,000 serta kos berjumlah RM60,000.

Lee yang bersidang bersama Darryl Goon dan Ghazali Cha menetapkan 7 Feb untuk keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.