
Hakim Abd Halim Aman berkata, hukuman ke atas Daniel Iskandar bagaimanapun perlu digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama enam bulan.
“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang dijalankan oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 yang telah dijelaskan.
“Namun, demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, maka diputuskan beberapa perintah,” katanya.
Halim berkata, antara perintah yang perlu dijalani oleh Daniel ialah perlu melaporkan diri kepada pegawai JKM dalam masa tujuh hari dari tarikh keputusan hari ini.
Beliau juga berkata, sepanjang khidmat masyarakat dijalankan, remaja itu perlu hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pesalah muda perlu mematuhi setiap aktiviti yang ditetapkan dan hendaklah khusus menjalani khidmat masyarakat di masjid sahaja,” katanya.
Sebelum itu, Halim berkata keputusan juga diambil atas faktor remaja itu masih muda iaitu baru berusia 18 tahun 4 bulan ketika ditangkap, mempunyai masa depan dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Beliau juga berkata, keputusan diketepikan atas faktor tiada kerugian daripada pihak masjid.
“Tiada kerugian daripada pihak masjid berikutan tertuduh ditangkap semasa ingin mencuri,” katanya.
Halim juga menegaskan perbuatan mencuri itu tetap salah tetapi hukuman mestilah diberikan bagi tujuan pengajaran.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel berterima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang memanggil sendiri untuk menyemak keputusan dibuat Mahkamah Majistret Selayang sama ada betul atau tidak.
Katanya, Halim telah menggunakan budi bicara mahkamah secara betul dengan menggantikan hukuman sebelum ini kepada perintah khidmat masyarakat.
“Lihat di Malaysia bagaimana undang-undang itu dikenakan seadilnya. Hakim juga ambil semakan hari ini untuk menegur sedikit sebanyak rakyat supaya tidak terlalu cepat hukum mereka telah ditangkap.
“Beliau nasihatkan walaupun undang-undang benarkan tangkapan tetapi masyarakat kena serah terus kepada pihak polis, jangan orang tangkap itu juga orang yang menghukum,” katanya.