KKM siasat kesan imunisasi babitkan bapa Mufti Perlis

KKM siasat kesan imunisasi babitkan bapa Mufti Perlis

Terdahulu Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangan selepas bapanya dimasukkan ke hospital lebih seminggu susulan kesihatannya merosot selepas menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Program Perkhidmatan Farmasi KKM berkata, pihak NPRA telah menghubungi hospital berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kesan advers susulan imunisasi (AEFI) membabitkan bapa Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

“Pihak NPRA telah menghubungi hospital yang berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI,” kata Program Perkhidmatan Farmasi KKM dalam kenyataan ringkas yang disampaikan kepada media menerusi WhatsApp.

Terdahulu, Asri menyuarakan kebimbangan selepas bapanya dimasukkan ke hospital selama lebih seminggu susulan keadaan kesihatannya merosot selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

Susulan kejadian itu, Asri turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

Beliau membuat saranan itu selepas bapanya mengalami gejala muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima dos penggalak Covid-19.

“Menurut doktor, beliau terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala. Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti. Hanya
pakar yang dapat menjelaskan,” katanya di Instagram.

Asri berkata, sebelum ini ramai yang berkongsi situasi seperti itu di media sosial termasuk anak kepada sahabatnya yang meninggal dunia dipercayai jatuh sakit mengejut selepas mengambil dos penggalak.

“Kebetulan minggu sebelum itu ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar.

“Keluarga beliau orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci, mereka hanya kata lepas vaksin nombor 3, tak pasai pasai dia sakit, lepas itu meninggal. Mungkin juga ada punca lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.