
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berharap ia dapat membantu FAM melahirkan pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Dalam bola sepak, pembangunan sukan bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata kerana bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.
“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu membuat perancangan yang rapi. ‘Failing to plan is planning to fail’ (kejayaan tidak berlaku secara kebetulan). Ia memerlukan perancanga),” katanya dalam ucapan sempena majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 di sini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara termasuk melalui Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018.
Beliau berkata, ia merupakan simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bola sepak yang disegani.
Jelasnya, sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.
“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka.
“Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata. Ia wajar menjadi agenda nasional dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal,” katanya.
Mengenai ibu pejabat baharu FAM, Ismail berkata, ia merupakan penghormatan paling besar kepada usaha menghidupkan legasi bekas Presiden FAM Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.
Katanya, tapak seluas 2.43ha itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.
“Pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.
“Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan,” katanya.