Budaya wala’ PAS tebal, singkir individu beza pendapat bukan perkara baharu, kata bekas pemimpin

Budaya wala’ PAS tebal, singkir individu beza pendapat bukan perkara baharu, kata bekas pemimpin

Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan kurang tepat kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa parti itu tidak pernah menggugurkan atau memecat mereka yang berbeza pendapat.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa demokrasi dalam PAS sudah ‘mati’ apabila tidak lagi meraikan perbezaan pandangan.
PETALING JAYA:
Bekas pemimpin PAS yang kini bersama Amanah mendakwa, demokrasi dalam parti Islam itu sudah “mati” apabila tidak lagi meraikan perbezaan pandangan, malah mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan utama parti terus disingkirkan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan sebagai kurang tepat kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa parti itu tidak pernah menggugurkan atau memecat mereka yang berbeza pendapat.

Malah, beliau mendakwa PAS mengamalkan tindakan disiplin terpilih dengan memberikan contoh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali yang digugurkan daripada AJK PAS Pusat.

“Kerana perbezaan politik dalaman PAS Khairuddin telah digugurkan daripada AJK PAS kerana menyatakan sesuatu yang berbeza daripada pandangan pimpinan utama PAS. Ini jelas menunjukkan budaya wala’ yang tebal wujud dan dikuatkuasakan dalam PAS. Pandangan dan pendapat berbeza tidak digalakkan malahan dikawal ketat.

“Semasa (bekas) ahli PAS yang kini bersama Amanah hari ini memberi pandangan berbeza sedikit, mereka dilabel liberal, pro-LBGT dan Anwarinas serta sebagainya,” katanya.

Beliau mendakwa, wujud “usaha besar-besaran melalui penggunaan ‘chai’ (senarai) untuk menyingkir mereka di muktamar” sehingga membawa kepada penubuhan Amanah. Kenyataannya itu merujuk kepada kumpulan Mohamad Sabu termasuk beliau sendiri yang tewas dalam pemilihan PAS pada 2015.

Sambil mendakwa sikap wala’ sangat sinonim dalam PAS dan tiada dalam parti lain, beliau berkata, parti itu kini sebenarnya menghadapi perpecahan dalaman yang sukar dibaiki disebabkan amalan itu yang tidak menggalakkan perbezaan pendapat dan kompromi secara sihat.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mendakwa budaya menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengan pandangan pucuk pimpinan PAS bukanlah baharu malah berlaku sejak Mohd Asri Muda menjadi presiden parti itu.

“Mereka yang tidak sehaluan dengan pemikiran pucuk pimpinan sesama dalam kepimpinan PAS akan disingkirkan melalui ‘chai’ seperti mana berlaku pada 2015, apabila berlaku pertembungan idea pemikiran antara kelompok kami (Amanah kini) dengan kepimpinan dalam PAS waktu itu yang terdiri daripada golongan agamawan.

“Kononnya golongan yang berbeza pendapat dalam PAS ini antiulama dan sebagainya, akhirnya mereka singkirkan kami. Itu yang berlaku, tiada siapa yang boleh nafikannya,” kata Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS kepada FMT.

Katanya, kenyataan Takiyuddin bahawa parti itu meraikan perbezaan pendapat hanyalah untuk menutup perpecahan yang sedang berlaku dalam PAS ketika ini.

Katanya, bukan hanya Khairuddin dilihat berbeza pendapat malah beberapa pemimpin lain dalam PAS termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan juga mempunyai pandangan berbeza dalam parti.

Beliau juga menasihatkan ahli PAS supaya tidak terlalu wala’ kepada pemimpin sehingga takut untuk mengkritik.

Semalam, Takiyuddin menjelaskan Khairuddin digugurkan daripada AJK PAS Pusat bukan disebabkan perbezaan pendapat berhubung isu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Beliau sebaliknya berkata, pengguguran seseorang AJK lazimnya dibuat apabila apabila terdapat percanggahan dengan perlembagaan parti yang dianggap sebagai tindakan disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.