Tiba masa kami beroperasi melepasi tengah malam, kata pemilik restoran di Bangsar

Tiba masa kami beroperasi melepasi tengah malam, kata pemilik restoran di Bangsar

Mereka mempersoalkan restoran makanan segera dan kedai serbaneka yang dibenarkan beroperasi melepasi tengah malam, namun tidak bagi pemilik restoran, kafe dan pub.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak bersama pemilik restoran dan kafe di Telawi, dalam “sesi teh tarik”, petang tadi.
KUALA LUMPUR:
Pemilik restoran dan kafe di Bangsar mendesak kerajaan membenarkan operasi perniagaan melepasi tengah malam.

Bagi memastikan rungutan mereka didengar, pemilik restoran mengambil inisiatif mengajukan rungutan menerusi bekas Perdana Menteri Najib Razak, untuk dibawa ke pihak bertanggungjawab.

Pemilik restoran berkata, peraturan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimanapun tidak menyatakan tempoh had pembukaan operasi restoran, kafe dan pub. Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis tidak membenarkan pengusaha terus menjalankan perniagaan melepasi tengah malam.

Seorang pemilik restoran, Siva Shankar, berkata DBKL dan polis bertegas kepada pengusaha menunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Kesihatan, sebelum melanjutkan tempoh operasi perniagaan.

“Sekarang, keseluruhan negara ini sudah beralih kepada fasa 4, iaitu fasa terakhir pelan pemulihan negara, justeru, pengumuman jelas diperlukan daripada Kementerian Kesihatan supaya membenarkan pemilik restoran melanjutkan tempoh operasi perniagaan.

“Kami meminta bantuan Najib membawa perkara ini ke pengetahuan pembuat dasar,” katanya selepas hadir “sesi teh tarik” bersama Najib, di Restoran Maya, petang tadi. Kira-kira 15 pemilik restoran, terutama di kawasan tumpuan kawasan Telawi, di Bangsar Baru, turut hadir.

Shankar berkata, kawasan perumahan Telawi menempatkan 50 kedai minuman dan makanan, manakala peniaga, Sunvil Singh, berkata 80% kawasan Telawi merangkumi kedai makanan dan minuman.

Kawasan terkenal itu juga menempatkan beraneka restoran, kafe, bistro dan pub, dan terdapat lebih banyak kedai makan di kawasan kejiranan Lucky Gardens dan Bangsar Park, terletak bersebelahan.

Dalam pada itu, Najib berkata, ada permintaan daripada banyak pengguna bagi restoran dan kafe dibenarkan beroperasi “tanpa had masa”, seperti mana sebelum kedatangan pandemik.

Katanya, operasi perniagaan lebih lama mampu menjana pekerjaan baharu, sekaligus meletakkan lebih banyak wang dalam pasaran, justeru membantu memulihkan ekonomi pulih lebih pantas.

“Saya rasa sudah tiba masanya dibuat pengumuman rasmi, jadi kita akan membuka lebih banyak perniagaan, mengambil kira perkara itu membantu proses pemulihan,” katanya.

Seorang lagi pemilik restoran, Joshua Bilique, mempersoalkan mengapa restoran makanan segera dan kedai runcit serbaneka dibenarkan beroperasi melepasi tengah malam, namun tidak bagi restoran di Bangsar, sambil memberi amaran berlakunya kesan domino membabitkan pembekal dan pekerja.

Katanya, tempoh pembukaan perniagaan sepatutnya tidak menimbulkan kebimbangan tercetusnya jangkitan Covid-19 kerana jangkitan tidak bergantung kepada jam tertentu setiap hari.

Kawasan Lembah Klang beralih ke Fasa 4 sejak 18 Oktober, manakala kawasan lain di negara ini beralih ke Fasa 4 secara berperingkat sehingga 3 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.