Tiada sekatan ketika musim perayaan seperti 2021, kata Khairy

Tiada sekatan ketika musim perayaan seperti 2021, kata Khairy

Menteri Kesihatan berkata, perkembangan positif terhadap penularan dapat dilihat tahun ini berbanding 2021, susulan pemberian vaksin lengkap dan dos penggalak.

Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kes harian ketika ini tidak boleh dijadikan pengukur untuk menyekat pergerakan seperti tahun lalu, memandangkan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi masih terkawal.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan tidak mungkin melaksanakan sekatan untuk musim perayaan ketika ini, walaupun kes Covid-19 dijangka meningkat pada bulan ini dan Februari susulan penularan varian Omicron.

Beliau berkata, perkembangan positif terhadap penularan dapat dilihat tahun ini berbanding 2021, susulan pemberian vaksin lengkap dan dos penggalak.

Katanya, peningkatan kes harian ketika ini tidak boleh dijadikan pengukur untuk menyekat pergerakan seperti tahun lalu, memandangkan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) masih terkawal.

“Takkanlah kita hendak kuatkuasakan SOP sama seperti tahun lalu. Tetapi, ada beberapa perkara yang kita rasakan berisiko tinggi seperti kavadi, mungkin tahun hadapan boleh lakukannya, peringkat demi peringkat.

“Untuk Tahun Baharu Cina, dahulu rentas negeri untuk makan besar bersama keluarga kita tak benarkan, jadi tahun ini kita kata ‘you can go’, hendak buat majlis kecil-kecilan tidak ada masalah,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan-badan bukan kerajaan (GO-NGO) Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klang.

Bagi sambutan Thaipusam pada Selasa ini, Khairy berkata, kerajaan menerusi Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Saddique sudah mengumumkan prosedur operasi standard (SOP), selepas mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak, termasuk pengurusan kuil di Batu Caves, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.