Teruk terjejas banjir, penduduk Taman Sri Muda saman pihak berkuasa

Teruk terjejas banjir, penduduk Taman Sri Muda saman pihak berkuasa

Sistem pengairan teruk dan usaha menyelamat yang lembab antara dakwaan pengabaian dibuat terhadap agensi kerajaan, kata peguam.

Kebanyakan kawasan Taman Sri Muda ditenggelami air susulan hujan lebat pada 17 hingga 18 Dis mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada keluarga dan peniaga.
PETALING JAYA:
Mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, akan memfailkan saman berhubung pengabaian pihak berkuasa susulan banjir besar yang mengorbankan sembilan nyawa di kawasan berkenaan, selain menjejaskan hampir 4,000 penduduk, bulan lalu.

Tindakan saman itu menamakan Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Pengairan dan Saliran, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor.

Peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, berkata kira-kira 40 penduduk dari Taman Sri Muda, sudah menunjukkan minat terbabit sama dalam proses saman berkenaan.

Katanya, intipati saman terbabit berhubung pengabaian, selepas mengambil kira agensi kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga rakyat Selangor, termasuk menyediakan sistem pengairan baik, selain mengambil tindakan secukupnya berhubung bencana.

“Mana-mana mangsa, penduduk, peniaga atau sesiapa sahaja yang terjejas dengan banjir di Taman Sri Muda dialu-alukan,” katanya.

Sekurang-kurangnya 25 mangsa banjir di Selangor terkorban, dengan kebanyakan kematian berlaku di Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.