
Seramai 400 penduduk daripada 86 keluarga itu akan dipindahkan segera akibat pencemaran udara yang berpunca daripada kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal sejak Rabu lalu yang belum dipadamkan sepenuhnya sehingga kini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi, iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan MPKK Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.
Katanya, hasil pemantauan menunjukkan terdapat kandungan gas yang boleh merisikokan kesihatan.
“Justeru, penduduk yang tinggal di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan berpindah buat sementara waktu.
“JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika meninjau tapak pelupusan sampah itu petang tadi, kesal dengan kejadian berkenaan.
Beliau berharap pihak terbabit akan meningkatkan mutu pengurusan di tapak itu dan kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal serta pihak lain demi menangani risiko pencemaran udara di kawasan itu.
Kebakaran itu dianggarkan meliputi kawasan seluas 6.5 hektar daripada keseluruhan 16.19 hektar tapak pelupusan sampah itu sejak petang Rabu lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengambil tindakan awal dengan membuat “fire break” bagi mengelakkan api terus merebak.