(VIDEO) ‘Saya hilang suami, isteri tertuduh pun susah’, balu mangsa ingatkan padah bertindak ‘membabi buta’

(VIDEO) ‘Saya hilang suami, isteri tertuduh pun susah’, balu mangsa ingatkan padah bertindak ‘membabi buta’

Rasa simpati Philomena Edwards, 60, terhadap keluarga ahli perniagaan yang dituduh membunuh suaminya, dibuat atas harapan kes itu memberi kesedaran kepada orang ramai.

Philomena Edwards berkata suaminya, Thava Sagayam Santanasamy, seorang penyayang dan ringan tulang.
IPOH:
“Saya turut simpati dengan isteri tertuduh, dia ada anak kecil dan juga mengandung,” kata balu pengawal keselamatan yang maut setelah terlantar 9 bulan akibat dipukul dengan meja sehingga pengsan.

Rasa simpati Philomena Edwards, 60, terhadap keluarga ahli perniagaan yang dituduh membunuh suaminya, dibuat atas harapan kes itu memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Apa-apa pun setiap perlakuan kita kena fikir sebelum bertindak, jangan buat dengan membabi buta kerana ada kesannya. Saya sekarang (tinggal) seorang (kerana kehilangan suami), isteri dia (tertuduh) pun kini susah.

“Suaminya (tertuduh) juga susah (kerana) kini ditahan dipenjara, jadi susah pada pihak dia dan susah juga pada pihak saya. Sama-sama susah,”
kata Philomena.

Philomena Edwards (kiri) tinggal bersendirian, dan dari semasa ke semasa akan dilawati anak saudaranya, Nelson Raj Nathan.

Suaminya, Thava Sagayam Santanasamy, 64 tahun, meninggal dunia Ogos tahun lalu, 9 bulan setelah terlantar susulan dipukul sehingga pengsan oleh seorang individu menggunakan meja.

Kematian pengawal keselamatan warga emas itu dikaitkan dengan tindakan mendiang melarang anak individu berkenaan menggunakan kolam renang kondominium.

Rakyat pelbagai lapisan terkejut dan marah terhadap serangan itu apabila klip rakaman serangan itu tular setelah mendiang meninggal dunia.

“Kehilangan paling besar dalam hidup,” kata Philomena Edwards mengenai kematian suaminya.

Thava disifatkan sebagai suami penyayang dan ringan tulang oleh Philomena apabila mengimbau kisah rumah tangga yang mereka dirikan selama 19 tahun.

“Ia adalah kehilangan yang paling besar dalam hidup apabila suami tiada bersama saya. Dia sangat baik, susah nak cari dapat suami macam dia. Semua kerja rumah dia yang bantu dan mudahkan.

“Saya ada banyak penyakit, saya ada kencing manis ,darah tinggi, saya seorang yang mudah marah tapi mendiang suami selalu nasihat saya, jangan marah-marah, nanti diri sendiri sakit,” katanya.

Pasangan itu tidak dikurniakan anak dan kasih sayang mereka dicurahkan kepada penjagaan binatang jalanan, tradisi yang kini di teruskan oleh Philomena.

Anjing dan kucing menjadi peneman Philomena Edwards. Ketika SS Thava masih hidup, pasangan ini akan memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan.

“Hanya anjing dan kucing jadi pengubat sunyi jadi peneman saya sendirian di rumah. Jika dulu, setiap hari saya dan mendiang akan beri makan pada kucing dan anjing jalanan, sekarang saya tetap teruskan, tetapi bersendirian.

“Itu saja yang boleh menghiburkan dan menggembirakan saya dalam ketiadaan suami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Buntong baru-baru ini.

Serangan ke atas Thava pada 2020 itu dan kematiannya Sept lalu masih sukar diterima oleh Philomena.

Beliau masih ingat rasa tergamam, terkejut melihat keadaan suaminya terlantar akibat dipukul oleh individu berkenaan.

Philomena berkata, kejadian itu memberi kesan ke atas diri. Beliau menjadi pemarah, menyisih diri, kemurungan dan menghadapi tekanan emosi.

Namun keadaannya bertambah baik sejak kembali bekerja di sebuah kilang plastik baru-baru ini.

“Saya selalu berdoa supaya Tuhan bagi saya ketenangan. Saya okay sikit. Sekarang saya sudah bekerja dan ada ramai kawan…jadi tidaklah rasa sunyi sangat,” katanya.

Pada 12 Jan lalu, mahkamah majistret memerintahkan kes ahli perniagaan Ahmad Noor Azhar Muhammad, 34, yang dituduh menyerang Thava sehingga menyebabkan kematiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ahmad Noor didakwa membunuh mendiang di Menara Majestic A-7-1, Jalan CM Yusuff, antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Dis 2020.

Sebelum itu, dia didakwa di mahkamah majistret kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Thava tetapi pertuduhan dipinda selepas polis mengklasifikasikan semula kes pengawal keselamatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.