Kilang jadi makmal proses dadah, 2 tan ketamin bernilai RM111.2 juta dirampas

Kilang jadi makmal proses dadah, 2 tan ketamin bernilai RM111.2 juta dirampas

Modus operandi sindiket menjadikan kilang di kawasan perindustrian sebagai makmal memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai kira-kira RM201,307.50, membabitkan enam kenderaan, barangan kemas dan wang tunai. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mencatatkan rampasan ketamin terbesar pertama tahun ini selepas merampas dua tan dadah itu yang dianggar bernilai RM111.2 juta, di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Pusing, dekat Batu Gajah.

Pengarahnya, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan di premis dijadikan makmal memproses dadah itu dilakukan pihaknya bersama JSJN Perak, bermula 1.30 tengah hari Khamis lalu, hingga 5.45 pagi Jumaat.

“Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar ketamin bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, selain ketamin itu, pihaknya turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan memproses dadah.

Katanya, jumlah dadah dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 6.7 juta penagih dan siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu.

“Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan kilang di kawasan perindustrian sebagai makmal untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai kira-kira RM201,307.50, membabitkan enam kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.

Menurutnya saringan awal air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif ketamin, selain mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

Semua mereka direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan tiga lagi lelaki disyaki terlibat dalam sindiket tersebut iaitu Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, serta S Patmanathan, 44.

“Siasatan awal mendapati mereka memainkan pelbagai peranan antaranya tukang masak yang dilatih, penyewa premis dan ejen sindiket,” katanya dengan menambah orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.