
Onn Hafiz Ghazi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan, berkata menggesa Syed Saddiq berhenti “bersandiwara” dan menumpukan kepada usaha pemulihan banjir sebenar.
“Jadi kalau boleh saya mencadang, cukup-cukuplah YB bersandiwara. Yang terpedaya mungkin orang luar yang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar.
“Kalau betullah YB sayang sangat dengan orang Johor dan Muar, mengapa hanya tiba di Johor pada 7 Januari 2022 walhal banjir telah bermula sejak 31 Disember lagi? Hampir 7 hari orang Muar dan Johor menantikan hero mereka.”
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Presiden MUDA itu, yang antara lain mendakwa kerajaan negeri takut membenarkan pasukannya turun membantu mangsa banjir, selain pilih kasih.
Syed Saddiq berkata, beliau tidak dibenarkan berjumpa dan memberi bantuan terus kepada keluarga mangsa banjir kerana perlu meminta kebenaran dahulu dan mendakwa selepas memohon kebenaran, permohonan ditolak.
Onn membalas dengan menyatakan, pejabat daerah mempunyai senarai semak dan syarat untuk memberikan kelulusan atau menolaknya.
“Walau bagaimanapun, YB boleh je menghubungi atau berjumpa dengan Pegawai Daerah/Pejabat Daerah Muar bagi membincangkan hal ini . DO (Pegawai Daerah) kawasan YB sendiri kan?” katanya.
Katanya, kerajaan negeri tidak takut, malah mengalu-alukan semua pihak yang ingin menghulurkan bantuan.
“Sebab itu ribuan sukarelawan dibenarkan untuk membantu di Johor semenjak 1 Januari lagi. Sebagai seorang pemimpin utama parti politik MUDA, saya pasti YB juga maklum bahawa dua permohonan pihak MUDA di Segamat telah diluluskan. Namun begitu, ada satu insiden di mana kelulusan telah diberikan namun MUDA tidak pula muncul!” katanya.
Onn juga menolak berlakunya sikap pilih kasih dilakukan pejabat daerah.
“Terdapat 4 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang memohon di Muar namun tidak diluluskan juga,” katanya.