Anggota jawatankuasa khas rumah ibadat dalam gua, babit wakil kerajaan, pembangkang, kata MB Perak

Anggota jawatankuasa khas rumah ibadat dalam gua, babit wakil kerajaan, pembangkang, kata MB Perak

Pembabitan wakil parti politik pihak kerajaan dan pembangkang adalah bagi mengelakkan isu berhubung perkara itu dipolitikkan sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, bersikap terbuka mempelawa wakil daripada MCA, MIC, DAP dan PKR dalam jawatankuasa khas berkenaan.
IPOH:
Anggota jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menentukan status semua rumah ibadat di Perak, yang terletak di kawasan gua akan melibatkan wakil daripada parti politik.

Menteri Besar Saarani Mohamad, berkata pembabitan wakil parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang adalah bagi mengelakkan isu berhubung perkara itu dipolitikkan sesetengah pihak.

“Ini bukan isu politik, jadi tidak mengapalah kita panggil wakil daripada MCA, MIC, DAP, PKR dalam jawatankuasa khas itu. Kita akan panggil jabatan teknikal dan pengusaha (pengendali kuil) untuk duduk berbincang kerana kita perlu mencari penyelesaian segera. Pada saya isu keselamatan adalah keutamaan,” katanya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kampung Klebang Tambahan sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di sini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak sedang menunggu senarai nama ahli jawatankuasa khas berkenaan daripada pengendali kuil.

“Saya sendiri sudah menghubungi pihak PTG minggu lalu, perkara ini sekarang di bawah tindakan mereka, jadi kita tunggu sahaja.

Apabila nama itu dapat, sudah tentu kita akan menyediakan jawatankuasa daripada pihak kerajaan negeri untuk duduk bersama dengan mereka bagi melihat bagaimana kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Rabu lalu, Saarani berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menentukan status kesemua rumah ibadat di negeri itu yang terletak di kawasan gua di atas tanah kerajaan sama ada melalui kaedah perizaban, lesen pendudukan sementara atau pajakan tanah rizab, selain memperincikan penetapan syarat perlu dipatuhi berdasarkan status kedudukan.

Saarani berkata, pencerobohan dan kegiatan pembinaan struktur tidak terkawal boleh mengundang ancaman keselamatan termasuk risiko runtuhan memandangkan gua batu kapur sensitif kepada perubahan cuaca.

Beliau berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa itu dibuat pada mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.