Kertas siasatan kes ADUN positif dadah diserah minggu depan

Kertas siasatan kes ADUN positif dadah diserah minggu depan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang berkata, polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan pakar patologi bagi tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan dan laporan patologi diperolehi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang didapati positif dadah akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan daripada pakar patologi bagi tindakan lanjut.

“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan dan laporan patologi diperolehi.

“Kita jangkakan kertas siasatan ini akan siap dan diserahkan pada minggu hadapan,” katanya dipetik Berita Harian.

Mustafa Kamal berkata, ADUN berusia 54 tahun itu yang direman sehari untuk siasatan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Katanya, dua anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan sama juga sudah dibebaskan.

Beliau berkata, semua 36 individu yang ditahan dalam serbuan itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, media melaporkan ADUN Perak itu ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, selepas ujian saringan awal air kencingnya didapati positif dadah.

Dalam serbuan itu, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes dadah, manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.