
Anak lelaki mendiang, Sonuljit Singh, menyifatkan tindakan warganet menghantar mesej berangkai mendakwa pengambilan vaksin sebagai punca kematian bapanya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Beliau mengambil dos penggalak pada 7 Jan dan meninggal dunia lima hari selepas itu seperti mana anda tahu. Kami tidak mengetahui jenis vaksin penggalak diambilnya kerana data MySejahtera mendiang belum dikemaskini.
“Namun, doktor memaklumkan kepada kami punca kematiannya 99% disebabkan serangan jantung dengan bedah siasat menunjukkan tiga saluran arteri koronari tersumbat 90-100%.

“Semua organ penting berfungsi dengan baik dan tidak menunjukkan sebarang reaksi alahan,” katanya kepada FMT.
Shebby, 61, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berbasikal, pada 12 Jan.
Susulan itu, mesej tular bertebaran mendakwa Shebby maut dua hari selepas mengambil dos penggalak selain tidak berehat sekurang-kurangnya tiga minggu, seperti disyorkan.
Memetik sumber, mesej itu mendakwa mendiang kelihatan lesu selepas mengambil dos penggalak.
Sonuljit berkata, doktor memaklumkan bahawa bapanya mengalami masalah fibrosis jantung dan kemungkinan besar mengalami serangan jantung tanpa disedari pada masa lalu, berdasarkan saluran jantungnya yang teruk tersumbat.
Tambahan pula, bapa , adik beradik dan ramai saudara mendiang berisiko tinggi mengalami serangan jantung, katanya.
“Sejarah (kesihatan) keluarga bapa saya tidak baik. Jantungnya pada bila-bila masa boleh gagal berfungsi dan kematiannya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pengambilan dos penggalak,” kata Sonuljit.
Katanya, Shebby juga menghidap kencing manis dua tahun lalu, dengan peningkatan paras gula ketara. Namun dengan mengamalkan disiplin tinggi, mendiang berjaya menurunkan paras gulanya ke tahap terkawal, tanpa pengambilan ubat.
Sonuljit berharap, orang ramai menghormati mendiang dan keluarganya, dengan tidak menularkan maklumat tidak sahih.