
Beliau berkata kedua-dua Jabatan Imigresen telah memberi jaminan kepada beliau bahawa mereka bersedia untuk mengambil langkah yang sepatutnya untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan untuk melindungi hak imigresen Sabah sekiranya kerajaan negeri menuntut hak dan kuasa penuhnya seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami melihat terdapat kelemahan imigresen antara Labuan dan pintu masuk ke Sabah melalui Terminal Feri Menumbok dan Jesselton Point, dan tidak ada pegawai imigresen ditempatkan di lokasi itu.
Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) telah membangkitkan isu ini kerana khuatir terdapat individu yang menyalahgunakan kelemahan ini untuk masuk dan keluar Sabah tanpa pemeriksaan, rekod dan dokumentasi yang sah,” kata Ongkili dalam kenyataan selepas bermesyuarat dengan pegawai kanan jabatan itu di Labuan, semalam.
Beliau berkata hak imigresen Sabah telah dikurangkan selepas Labuan menjadi Wilayah Persekutuan ketika zaman Kerajaan Berjaya pada 1984 dan peraturan imigresen membenarkan kemasukan individu antara Semenanjung dan Sabah, melalui Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
“Bagaimanapun semasa mesyuarat itu Jabatan Imigresen berkata mereka bersedia untuk mengkaji dan bertindak mengikut keputusan yang dicapai kerajaan Sabah mengenai perkara itu,” katanya.
Ongkili berkata Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan membantu dalam membuat keputusan, sekiranya kerajaan Sabah membawa perkara itu pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.
“Dalam kes hak Imigresen Sarawak, ia adalah satu daripada empat hak MA63 yang diisytiharkan sebagai tidak boleh dirunding dan negeri mempunyai kuasa dan kawalan yang penuh,” katanya.