
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosol Wahid berkata, harga sekilogram minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel kira-kira RM4.50.
“Harga minyak masak bersubsidi dalam paket 1kg pula hanya RM2.50. Mereka dipercayai mendapat keuntungan yang banyak dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Ajil, di sini.
“Taktik baharu itu dikesan hasil siasatan pegawai kementerian yang turun padang susulan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ketika ini dan siasatan terperinci sedang dilakukan.”
Beliau berkata, kekurangan bekalan di negeri terbabit juga disebabkan penyelewengan segelintir pemborong atau pembungkus semula yang disyaki menjual minyak masak bersubsidi secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai makan.
“Kita masih siasat siapa sebenarnya yang lakukan kesalahan ini, sama ada pemborong atau pembungkus semula kerana minyak masak bersubsidi dalam paket untuk kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga.
“Perkara ini dilaporkan berlaku di bandar besar dan KPDNHEP sedang menjalankan siasatan terperinci. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya sambil menambah 15 syarikat pemborong dan pembungkus semula minyak masak bersubsidi digantung lesen, manakala lima lagi syarikat ditarik balik lesen atas pelbagai kesalahan sejak 2020.
Rosol berkata, ketirisan bekalan stok minyak masak bersubsidi dalam paket juga berlaku kerana tindakan pemborong atau pembungkus semula memindahkannya ke dalam botol untuk dijual pada harga lebih mahal yang berjaya dibongkar melalui operasi selama ini.
“KPDNHEP memandang serius perkara ini dan ia sangat menyedihkan kerana menjejaskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.
“Sepanjang siasatan dijalankan, pemborong atau pembungkus semula yang terlibat akan digantung sementara lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi akan diambil alih syarikat lain bagi memastikan bekalan adalah stabil di pasaran.”