
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai percaya langkah mensyaratkan suhu badan diambil sebelum orang ramai dibenarkan memasuki tempat awam tidak lagi relevan.
Beliau berkata, tidak wajar meletakkan beban mengesan gejala Covid-19 kepada penjaga pintu seperti pengawal keselamatan kerana mereka bukan petugas profesional dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Malah doktor terpaksa bergantung kepada ujian untuk mengesan Covid-19 kerana ada (yang dijangkiti) mempunyai gejala ringan atau tiada gejala,” katanya kepada FMT
.
“Kebanyakan kedai telah melabur untuk membeli termometer digital. Tidak rugi jika ia masih dipakai tetapi ia tidak seharusnya diwajibkan sebagai sebahagian daripada SOP. Kebanyakan termometer ini tidak tepat pun.
“Mansuhkan langkah pemeriksaan suhu kerana ia tidak begitu berguna dalam saringan kes positif Covid-19. Sebaliknya, pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan pengudaraan yang baik harus dititikberatkan.”
Beliau juga berkata, orang ramai boleh mencatatkan suhu badan yang tinggi akibat demam biasa atau jangkitan selain daripada Covid-19 dan tidak adil untuk memaksa mereka diperiksa.
Pendirian Koh disokong oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia.
Presidennya Dr Steven Chow, bertanyakan jumlah kes Covid-19 yang dikesan KKM dalam tempoh dua tahun lalu sejak pemeriksaan suhu mula dijalankan.
Beliau memberitahu FMT, amalan itu mungkin berguna sebagai langkah pengesanan awal terhadap pengembara di pintu masuk antarabangsa tetapi berkata, kakitangan keselamatan tidak boleh dianggap sebagai pengawal pintu perubatan.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pemeriksaan suhu harus digugurkan daripada senarai SOP am kerana Malaysia tidak lagi mengguna pakai strategi sifar Covid-19.