
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Shahrir Abd Samad berkata, beliau hairan bagaimana Annuar boleh membuat kenyataan seperti itu di Facebooknya sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia terbabit tidak pun menghadiri mesyuarat pada Selasa lalu.
“Hanya TS (Tan Sri) Annuar, walaupun menteri, tidak hadir di mesyuarat MT tersebut.
“Tapi sebagai menteri yang jaga ‘multimedia’, kot-kot dia mempunyai maklumat sahih tentang mesyuarat yang dia sendiri tidak menghadirinya,” kata Shahrir dalam Facebooknya.
Semalam, Annuar membuat kenyataan di Facebook bahawa mesyuarat MKT Umno pada malam Selasa memberi bayangan bahawa Ismail Sabri akan dijadikan watak utama Umno untuk PRU15.
Beliau menambah, isyarat itu juga sekali gus menunjukkan bahawa Naib Presiden Umno itu adalah calon Perdana Menteri daripada parti itu.
“Pemakluman Setiausaha Agung Umno pasca mesyuarat MKT yang lalu, bahawa MKT terus memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail adalah manifestasi kebijaksanaan MKT.
“Mesyuarat MKT jelas membuat ‘endorsement’ (saranan) bahawa Ismail akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada 2023,” katanya di Facebook.
“Bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ PRU15, sekali gus merupakan calon Perdana Menteri daripada Umno selepas PRU15 nanti,” tambah beliau.
Bagaimanapun, ahli MKT Umno Puad Zarkashi menyanggah kenyataan Annuar itu dengan menyifatkan Ahli Parlimen Ketereh itu mendahului keputusan parti.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu sebaliknya menjelaskan ciri-ciri yang perlu ada pada individu yang layak diangkat sebagai “poster boy” partinya mestilah “tidak lembik” dan tidak lambat membuat keputusan.
“Poster boy mesti (boleh) menjamin kemenangan parti dalam PRU.
“Dia dipilih kerana ketokohannya, polisinya dan pembela rakyat. Bukan lembik, ikut cakap orang dan lambat buat keputusan,” katanya di Facebook.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pada Selasa lalu menegaskan MKT sentiasa menyokong Naib Presiden parti itu sebagai Perdana Menteri.
“MKT Umno menegaskan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.
“MKT memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu sekitar 5.8 juta orang,” katanya dalam kenyataan.