Saya tak pernah diminta campur tangan kes berprofil tinggi, kata Ketua Hakim Negara

Saya tak pernah diminta campur tangan kes berprofil tinggi, kata Ketua Hakim Negara

Tengku Maimun Tuan Mat berkata beliau tidak pernah didekati individu yang memintanya campur tangan dalam kes berprofil tinggi di mahkamah.

Tengku Maimum Tuan Mat berkata, hakim membuat keputusan berdasarkan bukti dan ia merupakan prinsip asas undang-undang.
PUTRAJAYA:
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, beliau tidak pernah didekati mana-mana individu bagi memintanya campur tangan dalam kes berprofil tinggi yang sedang berjalan di mahkamah.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan bukti dan ia merupakan prinsip asas undang-undang.

“Tiada sesiapapun menemui saya secara peribadi. Saya tidak tahu (hakim) yang lain, tetapi saya percaya mereka juga tidak pernah menerima permintaan seperti itu,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan tahun perundangan 2022.

Tengku Maimun berkata, sekiranya ada sekalipun pihak yang cuba menghubunginya untuk tujuan itu, namun hanya satu jawapan yang akan diberikannya: “Tiada apa yang boleh kita lakukan. Perkara itu kini di mahkamah dan hakim akan membuat keputusan berdasarkan bukti serta undang-undang.”

Beliau diminta mengulas ucapan Presiden Badan Peguam AG Kalidas dalam acara sama, yang antara lain merujuk kepada kenyataan yang pernah dibuat oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada 4 Ogos tahun lalu, Muhyiddin mendedahkan ada individu yang merayunya supaya mencampuri kes mahkamah.

Dalam ucapan beberapa hari sebelum meletakan jawatannya itu, Muhyiddin antara lain berkata, “pihak tertentu” memberi tekanan supaya beliau mencampuri kes mahkamah bagi memastikan segelintir individu dibebaskan daripada tuduhan jenayah.

Antara Ahli Parlimen Umno yang kini berdepan tuduhan rasuah termasuklah Presidennya Ahmad Zahid Hamidi, bekas Presiden Najib Razak, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib juga didapati bersalah dalam kes rasuah berkaitan dana RM42 juta milik SRC International, selain masih berdepan pendakwaan berkaitan kes 1MDB.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Kalidas berkata, Badan Peguam sentiasa mempertahankan prinsip kebebasan dan integriti kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.