PSC wajib panggil semua pihak berkepentingan dalam inkuiri Azam, kerajaan diberitahu

PSC wajib panggil semua pihak berkepentingan dalam inkuiri Azam, kerajaan diberitahu

Kumpulan masyarakat sivil turut mendesak pendengaran disiarkan secara langsung di saluran rasmi Parlimen dan kerajaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) sepatutnya turut menyiasat sumber dana diperoleh untuk membeli saham berkenaan yang didakwa digunakan atas nama Azam Baki.
PETALING JAYA:
Kumpulan masyarakat sivil mendesak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri, memanggil semua pihak berkepentingan membincangkan pemilikan saham Azam Baki, selain pendengaran disiarkan secara langsung.

Tindakan itu boleh membantu mengekalkan keyakinan rakyat terhadap Parlimen sebagai badan semak dan imbang membabitkan cabang eksekutif, kata kumpulan berkenaan dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Institut Pembaharuan Politik dan Demokrasi, ENGAGE, Undi18, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Yayasan Hikmah dan Bait Al-Amanah.

PSC berkenaan dijangka mengadakan pertemuan pada 19 Jan, bertujuan membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan Azam dijadual dipanggil, bagaimanapun, kehadiran bos SPRM itu sahaja “tidak mencukupi”.

“PSC sepatutnya memanggil semua pihak terbabit dalam isu ini, termasuk Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan laporan itu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan badan kawalselia yang berkuasa menyiasat atau mempunyai kuasa ke atas perkara berkenaan.

“Mereka mampu mengemukakan maklumat dan penjelasan, termasuk mengenal pasti kebenaran dakwaan dikenakan, selain menjawab dakwaan dalam kes itu,” katanya.

Katanya, sesi pendengaran berkenaan perlu dilakukan secara terbuka termasuk menyiarkan secara langsung dalam saluran rasmi Parlimen, termasuk kerajaan, sekali gus menjadikan rakyat kembali meletakkan keyakinan dalam institusi Parlimen untuk cekap bertindak dan kekal melaksanakan proses semak dan imbang membabitkan eksekutif.

Laporan berkenaan juga perlu dibentangkan di Dewan Rakyat bagi perbahasan, kata kumpulan itu.

Antara isu yang perlu dibangkitkan adalah meliputi sumber dana untuk membeli saham berkenaan, sejauh mana pegangan saham dipegang, sama ada beliau mendapat manfaat hasil pegangan saham itu dan mengenalpasti pegangan saham terbabit diisytihar berdasarkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, PSC wajib mempersoalkan Azam sama ada beliau terbabit dalam membuat keputusan berhubung operasi dalam syarikat yang didakwa beliau memiliki saham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.