
Ketuanya Hasbie Muda berkata, selain membantu membayar denda yang dikenakan mahkamah, pihaknya juga membelikan ubat untuk datuk remaja itu yang sakit dan memerlukan wang perbelanjaan.
Mahkamah Majistret Selayang semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas remaja berkenaan selepas dia mengaku bersalah mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah, Kuang di Rawang pada 8 Jan lalu.
Hasbie berkata, langkah itu adalah bagi membantu keluarga remaja berkenaan sekali gus memberi peluang kedua kepadanya untuk meneruskan kehidupan.
“Pemuda Amanah akan membantu keluarga remaja tersebut untuk bayar semua denda RM4,000 yang dikenakan serta belikan ubat untuk datuknya.
“Remaja 19 tahun ini juga perlu peluang kedua. Kita perlu membantu,” katanya di Facebook.
Hasbie turut menyifatkan tindakan “mandi jenazah” yang dilakukan terhadap remaja berusia 19 tahun berkenaan dan menyebarkan rakaman videonya sebagai keterlaluan.
“Tindakan ‘mandi jenazah’ dan sebar video kepada umum adalah amat keterlaluan. Maruah dan aib dia perlu dijaga.
“Apa hak AJK (ahli jawatankuasa) masjid perlakukan dia seperti itu? Hukuman penjara 10 hari sebenarnya lebih daripada memadai,” katanya.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti “jenazah” selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.
Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.
Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.
Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.