
PETALING JAYA: Taman tema Legoland Malaysia Resort (Legoland) memaklumkan penutupan sementara taman airnya bermula 12 Jan lalu hingga 21 Jan ini.
Legoland dalam kenyataan di Facebook rasminya memberitahu, penutupan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran beberapa kakitangannya disahkan positif Covid-19 semasa pemeriksaan rutin yang dijalankan.
“Keputusan proaktif ini diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan tetamu dan kakitangan selain mengekalkan tahap perkhidmatan hospitaliti dan pengalaman tetamu tertinggi.
“Pada masa ini, Taman Tema Legoland, Sea Life dan Hotel Legoland kekal dibuka dengan semua langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” menurut kenyataan itu.