Dedah punca sebenar kebakaran besar tapak pelupusan sampah Pulau Burung, gesa NGO

Dedah punca sebenar kebakaran besar tapak pelupusan sampah Pulau Burung, gesa NGO

Kepulan asap tebal berbau busuk disebabkan kebakaran daripada sisa pepejal itu memenuhi ruang udara dan merebak ke kawasan penempatan.

Tapak pelupusan sampah itu dilaporkan terbakar petang Rabu lalu dan asap tebal dilihat memenuhi ruang udara serta merebak ke kawasan berhampiran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan mendedahkan punca sebenar kebakaran besar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, sejak Rabu lalu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, walaupun kerja memadam apibermula sejak dua hari lalu oleh anggota bomba, namun kebakaran masih belum dikawal sepenuhnya sehingga kini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihak berkuasa berkenaan dan syarikat PLB Terang Sdn Bhd selaku pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung perlu segera menangani dan mencari punca berlakunya kebakaran itu sehingga mengakibatkan kepulan asap tebal di udara.

“Orang awam perlu tahu dan berhak untuk tahu perkara yang sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kepulan asap tebal berbau busuk disebabkan kebakaran daripada sisa pepejal itu memenuhi ruang udara dan merebak ke kawasan petempatan.

“Antara petempatan yang terancam dengan pencemaran udara tersebut adalah Kampung Baru Byram, Kampung Changkat, Kampung Bagan Buaya, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Jawi serta Taman Perumahan Desa Jawi,” katanya.

Beliau turut khuatir pencemaran itu boleh menjejaskan kesihatan orang awam khususnya warga emas yang uzur dan kanak-kanak.

“Tidak dapat pastikan apa yang terkandung di dalam longgokan sampah terbabit yang menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan kemungkinan besar melepaskan gas toksik.

“Justeru, SAM berharap agar perkara ini ditangani dengan sebaik mungkin dan pihak pengurusan tapak pelupusan mengambil iktibar datas perkara yang sudah dua kali berlaku,” katanya.

Tapak pelupusan sampah itu dilaporkan terbakar kira-kira 5 petang Rabu lalu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir, berkata, anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 4.05 hektar namun kawasan yang terbakar seluas 27.9 x 27.9m persegi.

Pada Februari tahun lalu, lokasi sama dilaporkan terbakar melibatkan anggaran keluasan kebakaran hampir 900m persegi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.