KD Rencong bakal perkukuh kawalan keselamatan perairan Sabah

KD Rencong bakal perkukuh kawalan keselamatan perairan Sabah

Kapal berkenaan ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu dan ia adalah LMS keempat yang diterima Sabah selepas Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik.

Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) pada sidang media di Sabah, hari ini.
PUTATAN:
Sabah kini memiliki sebuah lagi kapal pesisir pantai (LMS) yang dinamakan sebagai Rencong bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negeri ini.

Kapal berkenaan ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu dan ia adalah LMS keempat yang diterima Sabah selepas Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik yang ditauliahkan pada tahun lalu dan 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, Rencong akan dikenali sebagai KD Rencong seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di TLDM Kota Kinabalu sebaik sahaja ditauliahkan pada 28 Jan ini.

“Misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

“Keberadaan keempat-empat LMS di dalam negara khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini cukup bermakna bagi TLDM kerana ia menandakan semua LMS sudah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan.

“Selain itu, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen, Mohd Halim Khalid.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, TLDM turut memanfaatkan keupayaan LMS bagi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah.

Katanya, ia termasuk melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti lanun.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kepada Ketua Menteri bahawa kesiapsiagaan Angkatan Tentera (ATM) untuk meneruskan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta setiap agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni (Ops Murni) Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

Hishammuddin berkata, ATM sudah diatur gerak bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi turut menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid.

Sementara itu, ditanya mengenai pemalsuan sijil vaksinasi di negara ini, Hishammuddin berkata, kerajaan tiada kompromi terhadap perkara itu.

“Hal ini sesuatu yang tidak boleh kita maafkan dan saya gembira apabila pihak berkuasa sudah mengambil tindakan terhadap individu-individu tertentu.

“Bagaimanapun, siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk kewangan, keuntungan dan mengambil kesempatan musibah yang melanda dunia adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.