
Faisal Wong Abdullah, yang mengenali Serbegeth sejak 1975, terkejut dan hampir tidak percaya selepas mendapat perkhabaran mengenai pemergian rakan karibnya itu petang semalam.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan Serbegeth yang lebih dikenali sebagai Shebby Singh adalah seminggu sebelum Hari Krismas dan ketika itu dia menyedari ada sedikit perubahan pada rakan baiknya.
“Seminggu sebelum Krismas, Shebby datang ke rumah saya di Kluang, kami minum dan dia (mendiang) menceritakan pelbagai hal keluarga, kerjaya selain hobi berbasikalnya.

“Shebby memang suka berbasikal bersendirian, dia seorang ‘introvert’ dan tidak pernah berbasikal dalam kumpulan. Dia juga seorang yang ‘fit’ dan amat menitikberat soal kesihatan,” katanya ketika ditemui FMT di Pusat Peringatan Nirvana di Skudai.
Sementara itu, anak lelaki Shebby, Sonuljit Singh, berterima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan ucapan takziah dan penghormatan kepada mendiang ayahnya.
“Saya dan keluarga berterima kasih kepada semua, khususnya kasih sayang dan penghormatan yang ditunjukkan di media sosial, itu satu perkara yang baik untuk dilihat.
“Saya juga berharap semua pihak dapat memberi kami ruang untuk berdepan keadaan ini,” katanya.
Mayat mendiang Shebby kini ditempatkan sementara di Pusat Peringatan Nirvana Skudai sehingga 7 pagi esok sebelum dibawa ke ibu kota untuk diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.
Terdahulu, mayat mendiang tiba di sini dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah selepas selesai proses bedah siasat kira-kira 3 petang tadi bagi tujuan dibersihkan.
Kira-kira 50 sahabat, ahli keluarga dan kenalan berkumpul bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Shebby.
Bekas bintang bola sepak negara itu dilaporkan meninggal dunia ketika berbasikal petang semalam di Johor. Beliau berusia 61 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kematian Shebby.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika Shebby berbasikal bersendirian di Sunway Iskandar.