
Rang undang-undang (RUU) pindaan yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac itu akan mengekalkan denda maksimum bagi individu sebanyak RM10,000, tetapi mengurangkan separuh kompaun maksimum bagi syarikat kepada RM500,000.
Ketika ini, semua kompaun di bawah akta itu tertakluk kepada had RM1,000.
“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah memutuskan untuk tidak menyokong Akta 342 berikutan kenaikan denda yang kontroversi dan mencadangkan syarikat yang terus ingkar dan melanggar SOP ditutup.
“Rakyat dan syarikat telah cukup menderita dan tidak sepatutnya dibebani ketika kemelesetan ekonomi sekarang dengan denda yang lebih berat tertakluk kepada budi bicara kerajaan,” kata Lim dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT melaporkan ketegangan semakin memuncak dalam Umno apabila satu pihak berharap dapat mencetuskan pilihan raya umum (PRU) dengan menentang RUU pindaan Akta 342 yang dijangka diundi di Dewan Rakyat pada Mac.
Keretakan dalam Umno dikatakan semakin mendalam antara pihak yang menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pihak yang menyebelahi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, sumber dalaman PH berkata, gabungan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan UPKO itu tidak mencapai persetujuan sama ada akan terus menyokong Ismail di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani September lepas.
Pada 20 Dis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan menangguhkan pembentangan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 ke sidang Dewan Rakyat pada Mac dibuat hasil kesepakatan bipartisan dan berlandaskan semangat MoU antara kerajaan dan pembangkang.
Dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Disember, pindaan tersebut pada asalnya mencadangkan denda maksimum RM1 juta bagi syarikat serta pertubuhan yang melanggar SOP dan sehingga RM10,000 bagi individu, selain hukuman penjara.