Beli sijil vaksin palsu demi dapat bonus, suami isteri antara 3 ditahan

Beli sijil vaksin palsu demi dapat bonus, suami isteri antara 3 ditahan

Polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi orang tengah untuk mendapatkan sijil palsu terbabit bagi suami isteri itu.

Pasangan suami isteri itu mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin Covid-19 palsu melalui orang tengah pada harga RM500 setiap seorang.
PETALING JAYA:
Taktik sepasang suami isteri dari Alor Gajah, Melaka menggunakan sijil digital vaksinasi yang dipercayai palsu dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan bonus tahunan gagal apabila ditahan polis Selasa lalu.

Penipuan pasangan berusia 33 dan 38 tahun yang bekerja di pejabat sama itu dikesan jabatan mereka, selepas mengutuskan surat kepada Klinik Kesihatan Rembia di Alor Gajah untuk membuat semakan mengenai status vaksin mereka pada 31 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, maklum balas dari klinik itu pada 5 Jan lalu mengesahkan pasangan itu tidak pernah divaksin, sekaligus membuktikan mereka menipu jabatan dengan memalsukan dokumen penerimaan vaksin lengkap dua dos.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menahan pasangan itu dan seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di jabatan sama, dipercayai orang tengah yang mendapatkan sijil palsu terbabit untuk mereka.

Polis menahan tiga penjawat awam itu di Melaka dan merampas telefon bimbit. Reman tiga hari mereka berakhir hari ini.

“Daripada siasatan awal kami, suami isteri itu mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah dengan harga RM500 setiap seorang.

“Hasil soal siasat, orang tengah berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu itu daripada seorang suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Vnilai’.

“Polis masih memburu suspek keempat (Vnilai) dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.