6 direman 3 hari bantu siasatan kes jual sijil vaksinasi

6 direman 3 hari bantu siasatan kes jual sijil vaksinasi

Polis yakin kes ini ada kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki yang disyaki menjual sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar di sebuah klinik swasta di Marang Sabtu lalu.

Polis berkata, enam lelaki terbabit dikatakan menerima bayaran RM400 hingga RM600 untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada individu tidak divaksin.
KUALA TERENGGANU:
Enam lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, M Zambri Mahmud berkata, semua lelaki yang berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan malam tadi dan direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan oleh majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas menerima permohonan polis.

M Zambri berkata, semua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka sehingga kini.

“Polis menerima laporan (daripada pelanggan) bahawa bayaran dibuat oleh mereka untuk membeli sijil itu tetapi suspek dikatakan tidak memberikan sijil itu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki Sabtu lalu yang disyaki menjual sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar di sebuah klinik swasta di Marang.

Siasatan awal polis mendapati 1,900 individu berurusan dengan klinik itu untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu, polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan dengan bayaran antara RM400 hingga RM600.

Katanya, reman terhadap doktor berkenaan berakhir hari ini dan dia dilepaskan sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.