4 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran

4 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran

Kebakaran kira-kira jam 6.30 pagi berhampiran Cyber City itu turut memusnahkan lima kenderaan milik mangsa.

Kebakaran di Kampung Suok Batu yang memusnahkan empat rumah dan lima kenderaan. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
KOTA KINABALU:
Empat keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Suok Batu, Kepayan, di sini, pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 6.30 pagi berhampiran Cyber City itu turut memusnahkan lima kenderaan milik mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 6.37 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sudah memusnahkan sebahagian besar rumah dan operasi pemadaman segera dijalankan menerusi dua hos sepanjang 65 meter dari jentera Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi.

Operasi pemadaman turut dibantu jentera BBP Penampang.

Jurucakap itu berkata, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua rumah yang terletak berhampiran.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.06 pagi namun kejadian ini menyebabkan 23 mangsa terdiri daripada empat keluarga terpaksa ditempatkan di Dewan Kivavang, Kepayan.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.