
Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tiada kemampuan dan komitmen untuk memelihara serta mempertahankan satu-satunya kawasan hutan simpan terakhir di Shah Alam.
“Siasatan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF Society) juga menunjukkan kawasan hutan simpan tersebut “tidak mempunyai sebarang rekod” bahawa ia pernah diisytiharkan dalam warta kerajaan negeri Selangor sebagai kawasan telah “dinyahwartakan” (de-gazetted) untuk projek pembangunan pelbagai,” katanya kepada FMT.
Kumpulan itu juga tidak berpuas hati dengan penjelasan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian, yang menyalahkah pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sedangkan kawasan itu diberi pajakan 99 tahun kepada sebuah syarikat pada 12 Ogos 2020 ketika era pentadbiran PH.
“Otai juga tidak berpuas hati dengan pendirian YB Hee yang berulang-ulang kali mengatakan bahawa ‘kesilapan’ ini dilakukan kerajaan Umno-BN yang memerintah sebelum ini sedangkan kita dapati bahawa sebuah Lot 57621 Hutan Simpan Bukit Cherakah (milik kerajaan negeri Selangor) itu telah diberikan ‘Pajakan 99 tahun'” katanya.
Ketika mengulas lanjut, kumpulan itu mendakwa pajakan itu diberikan kepada satu syarikat pada 12 Ogos 2020.
“Apa maknanya rakyat pilih PH sudah hampir tiga penggal memerintah Selangor, sedangkan Exco kerajaan negeri masih menyalahkan kerajaan lampau sebagai jalan keluar bagi menutup ketidakmampuan mereka menyelesaikan isu ini,” katanya.
Razak berkata, pihaknya juga menggesa supaya Anwar yang juga Presiden PKR mengarahkan Menteri Besar Amirudin Shari “segera memberhentikan” aktiviti pembersihan hutan dan kerja-kerja tanah di sebahagian kawasan hutan tersebut di Seksyen 10 selepas mendakwa berlakunya hakisan tanah yang menyebabkan sebuah tasik takungan hujan terjejas.
“Air di kawasan tasik itu keruh berwarna ‘teh tarik’ dan penduduk setempat khuatir berlakunya banjir dalam masa terdekat,” katanya.
Pada 24 Sept, Hee menjelaskan bahawa isu projek pembangunan berhampiran SACF yang ditularkan oleh beberapa pihak mendapati projek itu berlaku di luar kawasan HSK.
Katanya, seluas 9,642 hektar Hutan Simpan Bukit Cherakah diwartakan sebagai HSK pada 1909 namun sudah mengalami beberapa kali penyahwartaan sejak 1976 bagi tujuan pembangunan.
Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan.
NGO alam sekitar dan Otai Reformis bagaimanapun berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada pasukan peguam dan pihak daripada Majlis Peguam Malaysia mengesahkan kawasan SACF masih dalam status HSK dan tidak pernah dinyahwarta.