
Beliau berkata, ia penting khususnya bagi tujuan tebatan banjir dan perkara berkenaan akan dibawa kepada jawatankuasa khas untuk tindakan susulan.
“Pada pendapat saya, kawasan sekitar dan kapasiti air dalam kolam takungan perlu dipertahankan termasuk mengambil kira syarat ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan syarat ini tidak berubah.
“Malah perkara ini sudah dibincangkan sejak tiga bulan lalu bahawa semua kawasan takungan dan kapasitinya mesti dipertahankan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, media itu melaporkan, agensi teknikal dan kejuruteraan yang bertanggungjawab berhubung isu banjir pernah mengesyorkan beberapa kolam air di ibu kota diwartakan sebagai kolam takungan banjir dan mengelakkannya daripada dijadikan kawasan komersial namun syor itu ditolak.
Ia didedahkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia yang juga bekas Ketua Pengarah JPS Nor Hisham Mohd Ghazali yang berkata, syor dan cadangan supaya kolam takungan diwartakan dibuat berdasarkan aspek teknikal, khususnya berkaitan kepentingan rancangan tebatan banjir di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Ahmad Ismail berkata, sebarang gangguan terhadap kawasan tadahan air di Kuala Lumpur adalah berisiko berikutan kedudukan ibu kota yang tiada kawasan menyerap air, selain kerap berlaku banjir kilat.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kementerian komited dalam memastikan ibu kota mempunyai kawasan hijau serta kolam takungan air yang mencukupi ketika pembangunan diteruskan.
“Ada juga pembangunan dibuat di kawasan sekitar sebuah kolam takungan dan kita minta syarikat (pemaju) tidak mengganggu kolam takungan ini dan mereka bersetuju.
“Kita memberi perhatian supaya kapasiti kolam takungan tidak berubah dan dijaga di samping pembangunan boleh diteruskan,” katanya.
Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kolam takungan air yang terjejas akibat pembangunan hendaklah menyalurkan kepadanya untuk mencari penyelesaian terbaik.