‘Kenapa tak jelas lebih awal jika media salah lapor’, Ahli Parlimen DAP soal Abu Zahar

‘Kenapa tak jelas lebih awal jika media salah lapor’, Ahli Parlimen DAP soal Abu Zahar

Lim Lip Eng berkata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah itu seharusnya memperincikan perenggan mana yang disalah tafsir media.

Abu Zahar sepatutnya memohon maaf kepada media dan semua ahli LPPR, bukannya membuat kenyataan balas dengan menyalahkan kumpulan berkenaan, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP mempersoal tindakan Abu Zahar Ujang menyalahkan laporan media sebagai penyebab semua ahli lembaga menolak kenyataannya pada 5 Jan lalu berhubung isu pemilikan saham dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM itu seharusnya membuat kenyataan lebih awal dengan memperincikan perenggan mana yang disalah tafsir oleh media.

“Sebelum kenyataan media dikeluarkan oleh enam anggota LPPR pada 8 Jan yang mengatakan kenyataan Abu Zahar pada 5 Jan adalah pandangan peribadi Pengerusi LPPR itu semata-mata, mengapa Abu Zahar tidak segera menjelaskan pada 6 atau 7 Jan sekiranya benar beliau disalah lapor oleh media? Kenapa perlu tunggu hingga semalam?” soalnya dalam kenyataan.

Pada 8 Jan, enam ahli LPPR menjauhkan diri daripada kenyataan Abu Zahar yang membersihkan nama Azam daripada salah laku berhubung isu pemilikan saham.

Mereka berkata, komen Abu Zahar adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.

Menurut mereka, sebelum sidang media Abu Zahar pada 5 Jan, mereka mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk lebih lanjut kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, pandangan dan cadangan itu tidak dibangkitkan oleh Abu Zahar pada sidang media tersebut, kata mereka.

Lim berkata, kenyataan Abu Zahar bahawa kenyataan enam ahli LPPR dikeluarkan tanpa pengetahuan beliau juga amat melucukan, memandangkan Zahar sendiri telah membelakangkan semua ahli LPPR itu.

“Bukankah beliau sendiri yang terlebih dahulu membuat kenyataan unilateral tanpa persetujuan semua ahli LPPR dalam sidang media 5 Jan lepas? Mengapa Pengerusi LPPR bersikap dua darjat?,” soalnya.

Dalam pada itu, Lim berkata, Abu Zahar sepatutnya memohon maaf kepada media dan semua ahli LPPR, bukannya membuat kenyataan balas dengan menyalahkan kumpulan berkenaan.

“Saya nasihatkan jika Abu Zahar memohon maaf kepada pihak media dan enam ahli lembaga LPPR tersebut, itu sudah memadai sekiranya beliau beranggapan bahawa kenyataan medianya pada 5 Jan mungkin ‘telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan’ dan ‘sehingga ke tahap menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya’, bukan dengan membuat kenyataan balas menyalahkan media,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.