Sorok ganja dalam bas kilang, 8 ditahan bersama rampasan RM147,450

Sorok ganja dalam bas kilang, 8 ditahan bersama rampasan RM147,450

Ganja itu dipercayai diperolehi dari negara jiran sebelum diedar dalam jumlah kecil di sekitar kawasan utara.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad (tiga, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penahanan seorang lelaki yang juga pemandu bas dan teksi membongkar sindiket pengedaran ganja di sekitar Kulim, Kedah, serta Pulau Pinang, sejak hampir setahun lalu.

Suspek berusia 47 tahun ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di parkir perumahan awam di Kelang Lama, Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata suspek ditahan pada 5.15 petang sebaik keluar dari bas kilang dan pemeriksaan menemui ganja seberat 0.35g dalam beg silang digunakannya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam bas itu, polis menemui dua guni putih diikat mengandungi ketulan mampat berisi ganja.

“Guni pertama mengandungi 19 ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 19.5kg manakala guni kedua mengandungi 22 ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 22.4kg.

“Polis turut menemui satu guni putih mengandungi 12 ketulan mampat ganja seberat 11.9kg di bawah bas terbabit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, susulan itu polis melancarkan empat serbuan termasuk tiga di Pulau Pinang bermula 7 hingga 9 Jan lalu dan menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita bersama suaminya.

Menurutnya, serbuan terbabit dilakukan di Ayer Hitam, Butterworth, Jelutong, serta sebuah rumah di Taman Kemuning dan rampasan dadah turut dilakukan dalam operasi susulan itu.

“Kami percaya semua suspek adalah sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak hampir setahun lalu dan melakukan aktiviti menjual ganja sekitar kawasan utara,” katanya.

Hassan berkata, siasatan awal mendapati sindiket memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sebelum dibawa ke negeri ini dan diedar dalam kuantiti kecil.

Beliau berkata, susulan itu, polis juga berjaya memberkas suspek lain bekerja sebagai pemandu bas, pemandu teksi, pengawal keselamatan serta buruh berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun.

“Mereka direman sehingga 13 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan ganja dirampas seberat 58.9kg dianggarkan bernilai RM147,450 dan polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM38,845.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.