
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan 16 wanita berusia 11 hingga 44 tahun kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen dan disyaki baharu sahaja memasuki negara ini.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang kanak-kanak dan lima remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun di sebuah lot kedai tidak bernombor di Jalan Pusu 40 pada 4.45 petang.
“Dalam serbuan itu, dua anggota kereta peronda MPV membuat pemeriksaan di sebuah lot kedai tidak bernombor dan menemui enam warga Myanmar terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan bersembunyi di dalamnya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini dan semua mereka mengaku warga Myanmar. Mereka ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, berdasarkan siasatan semua warga Myanmar itu mengaku baharu sehari tiba di negara ini dengan dihantar oleh seorang lelaki warga Thailand menggunakan kenderaan dan tinggal di lot kedai lama tersebut tanpa kebenaran mana-mana pihak.
Katanya, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002,) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di Kampung Sapi, Jeram Perdah pada 10 malam hari sama, polis menahan 40 warga Myanmar terdiri daripada 29 lelaki dan 11 perempuan berusia 14 hingga 44 tahun.
Katanya, semua suspek ditemui bersembunyi di kawasan semak yang gelap dipercayai selepas memasuki negara ini melalui pangkalan haram Jeram Perdah 2.
“Mereka berjaya ditahan walaupun cuba melarikan diri manakala hasil pemeriksaan mendapati semua warga Myanmar itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata. semua pendatang itu disyaki akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang yang menyediakan pengangkutan untuk menghantar mereka ke sana.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.