Tangani punca sebenar obesiti dalam kalangan murid, kata Maszlee

Tangani punca sebenar obesiti dalam kalangan murid, kata Maszlee

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata isu kemiskinan juga mempunyai kaitan dengan obesiti dan keadaan kesihatan yang teruk.

Maszlee Malik berkata, penekanan pada usia muda harus diberikan dalam menerapkan amalan sihat seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah dari sudut lebih luas.

Maszlee berkata, masalah obesiti agak membimbangkan dan penekanan pada usia muda harus diberikan dalam menerapkan amalan sihat seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat.

“Kita juga perlu menangani punca sebenar seperti kemiskinan yang mempunyai kaitan dengan obesiti dan keadaan kesihatan yang teruk,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan akan melaksanakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) ke atas murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.

Maszlee Malik.

Pelaksanaan langkah itu akan bermula pada hari pertama kalendar akademik 2022/2023 dan dilakukan dua kali setahun.

Bagaimanapun Maszlee mempersoalkan dasar KPM yang menggunakan BMI untuk melakukan pemeriksaan ke atas murid sekolah berusia lima ke sembilan tahun.

Katanya, BMI yang tinggi tidak semestinya bermaksud mereka menghadapi masalah obesiti kerana mungkin terdapat isu kesihatan lain.

“Agak sukar untuk mengatakan ia adalah salah mereka. Sindiran gemuk atau ‘fat-shaming’ bukanlah penyelesaian,” kata Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Katanya, selain masalah obesiti, KPM juga perlu memberi fokus kepada isu kesihatan lain seperti masalah terbantut dan penyusutan badan.

Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) 2019 menyebut 20.7% daripada kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini mengalami masalah terbantut manakala 11.5% pula menghadapi masalah penyusutan badan.

Laporan sama turut menyatakan sebanyak 12.7% (lima hingga 19 tahun) mengalami masalah obesiti.

Maszlee berkata, selain agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF, KPM juga diminta bekerjasama dengan pakar pediatrik tempatan untuk mencari penyelesaian terbaik.

Beliau juga berharap kementerian dapat mengembalikan semula program sarapan pagi percuma yang diperkenalkannya pada 2019 kerana ia bukan hanya menyediakan makanan percuma tetapi mendidik murid mengenai pemakanan sihat, etika ketika makan serta disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.