7 lelaki berlagak ‘marsyal’ di PD didakwa

7 lelaki berlagak ‘marsyal’ di PD didakwa

Mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.

Aksi mereka dirakam pengguna jalan raya ketika melepasi Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang Port Dickson pada Disember tahun lalu. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Tujuh lelaki yang berlagak sebagai ‘marsyal’ sehingga menghalang lalu lintas bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Tertuduh Ezy Effandy Mohd Harif, 46, seorang ahli perniagaan dan rakannya, Mohamad Zaini Mohamed, 50, yang juga ejen insurans dikenakan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memotong kenderaan lain ketika berada di garisan berkembar.

Mahkamah turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda.

Harian Metro melaporkan, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.

Mohamad Zaini turut didenda RM400 selepas mengaku bersalah atas dakwaan menggunakan pelekat berlambang Unit Tindakan Khas (UTK) milik polis yang bertulis ‘Tangkas, Banteras, Ganas’, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967.

Selain itu, kedua-dua mereka yang diwakili peguam Eric Yeow Kok Heng daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu menimbulkan ketidakselesaan dan menggunakan aksesori kenderaan yang menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 dan Seksyen 119 (2) APJ 987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

Mahkamah menetapkan setiap orang kena saman (OKS) diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes akan disebut semula 8 Feb depan untuk serahan dokumen.

Kesemua perbuatan itu dilakukan pada jam 11.10 pagi di Sungai Raya-Tanjung Agas, Port Dickson pada 5 Dis 2021.

Sementara itu, lima lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menghalang lalu lintas di lampu isyarat Sua Betong pada 20 Nov 2021.

Mengikut pertuduhan, A Vinith, 27, K Lohansharma, 27, S Kumaran, 31, R Devah, 27, dan A Siva Perunal, 48, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa menahan kenderaan lain ketika berada di lampu isyarat, iaitu perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain.

Tiga daripada mereka yang bekerja sebagai pemandu lori dan dua lagi penghantar surat dan penyelia turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan menyebabkan ketidakselesaan tidak wajar kepada pengguna jalan raya lain, tidak berhenti di lampu isyarat merah dan menghalang kebebasan lalu lintas dengan memberhentikan motosikal di tengah aliran trafik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kelima-lima OKS diwakili peguam, K Sheela.

Mahkamah kemudian mengenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Feb depan sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.