7 ahli sindiket keldai akaun babit kerugian lebih RM466,000 ditahan

7 ahli sindiket keldai akaun babit kerugian lebih RM466,000 ditahan

Mangsa diberi komisen RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank untuk digunakan sebagai akaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian dalam talian.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya percaya sindiket ini melibatkan penipuan rentas negara yang aktif sejak Oktober tahun lalu dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Melaka menahan tujuh ahli sindiket keldai akaun yang menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja dan pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian RM466,380.25 menerusi Op Akaun Palsu dalam empat serbuan berasingan dalam dan luar Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun, termasuk pasangan kekasih tempatan dan seorang wanita warga Vietnam ditahan di Alor Gajah, Seri Kembangan dan Kajang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur, pada 4 dan 5 Jan lalu.

Beliau berkata, seorang tukang kebun berusia 30 tahun telah ditawarkan pekerjaan oleh pasangan kekasih berusia 30 dan 21 tahun itu, sebelum dia diminta menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad berkenaan yang akan digunakan sebagai akaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian dalam talian.

Katanya, mangsa diberi komisen RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank dan mangsa menyerahkan dua kad ATM miliknya dan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

“Mangsa juga diminta mencari rakan lain yang boleh memberikan kad ATM serta nombor pin akaun bank mereka dan mangsa berjaya mendapatkan lima rakannya yang berminat dengan tawaran daripada sindiket berkenaan,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, E Sundra Rajan.

Majid berkata, tukang kebun itu juga telah dibawa ke sebuah rumah di Seri Kembangan oleh dua ahli sindiket tersebut yang dikenali sebagai Yusri dan Naufal.

Mangsa kemudiannya berasa curiga lalu membuat laporan polis pada 3 Jan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, polis merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank selain beberapa mata wang asing dalam operasi tersebut.

“Kami percaya sindiket penipuan ini melibatkan penipuan rentas negara yang aktif sejak Oktober tahun lepas dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu.

“Dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan, kami percaya sebanyak 36 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian RM466,380.25 berjaya diselesaikan dan tiga kes daripadanya melibatkan kerugian berjumlah RM26,069.22 dilaporkan di Melaka,” katanya.

Majid berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

Sementara itu katanya, penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat kepada 76 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta tahun lalu berbanding empat kes melibatkan kerugian RM79,700 pada 2020.

Beliau berkata, kes penipuan pelaburan tidak wujud pula menurun pada tahun lalu, iaitu sebanyak 126 kes, namun nilai kerugiannya meningkat kepada RM6.49 juta, berbanding 259 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM2.87 juta.

“Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang dan membuat semakan dahulu dengan pihak Bank Negara atau polis, sekiranya berasa curiga berhubung transaksi yang hendak dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.