49 NGO gesa siasatan bebas terhadap KP SPRM

49 NGO gesa siasatan bebas terhadap KP SPRM

Gabungan NGO itu juga menuntut Azam Baki bercuti sementara menunggu hasil siasatan.

Gabungan NGO itu juga menuntut Azam Baki bercuti sementara menunggu hasil siasatan, selain menggesa individu dan entiti terkait kontroversi berkenaan menjawab tiga soalan penting.
PETALING JAYA:
49 badan bukan kerajaan (NGO) menggesa siasatan bebas dilaksanakan terhadap kontroversi dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Gesaan itu adalah satu daripada tujuh tuntutan empat NGO merangkumi Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Gerak, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan disokong 44 NGO lain.

NGO itu turut menuntut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, memulakan penyiasatan bebas bagi mengembalikan kredibiliti SPRM.

Selain itu, NGO itu juga menuntut Azam bercuti sementara menunggu hasil siasatan, selain menggesa individu dan entiti terkait kontroversi berkenaan menjawab tiga soalan penting.

“Bagaimanakah Ketua Pesuruhanjaya SPRM membenarkan adiknya untuk membeli saham menggunakan akaun peribadinya walhal ia boleh jadi salahguna mengikut Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

“Mengapakah Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM didakwa mengetepikan pandangan anggota lain di dalam lembaga pengarah dan bergantung kepada pandangannya sendiri bagi membebaskan Azam Baki.

“Mengapakah anggota lain lembaga penasihat hanya berdiam diri berkaitan rungutan yang diutarakan oleh Terence Gomez selepas mereka mengikut mesyuarat pada 24 Nov untuk membincangkan hal ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Antara NGO yang dinamakan menyokong tuntutan itu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Bersih, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), G25 Malaysia dan Gabungan Bertindak Malaysia.

Turut tersenarai, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Persatuan Komuniti Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, NGO itu turut mendesak Lembaga Penasihat SPRM mendedahkan minit mesyuarat pada 24 Nov lalu bagi menunjukkan atas dasar apa Azam dibebaskan tanpa melalui proses penyiasatan yang sepatutnya.

NGO turut mendesak Azam menarik balik surat tuntutan terhadap individu yang mendedahkan maklumat mengenai kepentingan dimilikinya dalam sejumlah perniagaan.

Mereka turut menggesa kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberi lebih banyak perlindungan kepada individu yang mendedahkan maklumat seumpamanya.

“Kerajaan juga perlu melaksanakan reformasi yang serius bagi menjadikan SPRM benar-benar bebas, selaras saranan oleh empat kumpulan pada 2015.

“SPRM perlu dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya diletakkan di bawah pemantauan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bipartisan,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.