2 kondo mewah jadi pusat operasi judi dalam talian di P Pinang diserbu

2 kondo mewah jadi pusat operasi judi dalam talian di P Pinang diserbu

23 individu yang bertindak sebagai ejen turut ditahan dalam dua serbuan di Persiaran Gurney dan Jalan Kelawei, Jumaat lalu.

Beberapa peralatan, antaranya komputer riba dan telefon bimbit dirampas dalam Op Dadu yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan dua buah kondominium mewah sebagai pusat operasi diserbu polis dalam dua serbuan berasingan di Georgetown, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Serbuan pertama menerusi Op Dadu dilakukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang jam 5.25 petang dan menahan 10 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 31 tahun di Persiaran Gurney.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan kedua pula dilakukan di unit kondominium mewah di Jalan Kelawei dan polis menahan sembilan lelaki serta seorang wanita berusia 16 hingga 27 tahun.

“Mereka disyaki bekerja sebagai ejen yang mempromosikan sindiket perjudian dalam talian dengan bayaran gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Malah mereka turut menerima komisyen sebanyak lima peratus sekiranya pelanggan kalah dalam permainan judi itu,” katanya menurut laporan Harian Metro pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Shuhaily berkata, sindiket itu aktif mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Katanya, pihaknya juga mendapati kedua-dua unit kondominium yang disewa beroperasi antara jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari untuk “memancing” pelanggan menerusi aplikasi seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

“Kita turut mengesan modus operandi baharu sindiket itu yang membuat pertaruhan sendiri, bukan dengan pihak ketiga dan kita akan merujuk kepada Bukit Aman mengenai kaedah ini.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 85 telefon bimbit, 18 komputer riba, lapan set komputer meja, 49 kad sim dan dua kereta Honda,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4 (1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) (c) akta yang sama.

Individu berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.