Miliki, ambil dadah, pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

Miliki, ambil dadah, pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

Menurut laporan sebelum ini, ketiga-tiganya ditahan di lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di Kuala Kangsar.

Pelakon Muhamad Niezam Mohd Zaidi, penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, dan pengarah Mohd Latiff Zami, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan secara berasingan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelakon drama dan filem serta dua yang lain didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan mengambil dadah, Oktober tahun lepas.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhi hukuman denda RM4,000 masing-masing terhadap pelakon Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30, dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, 48, manakala denda RM3,800 terhadap pengarah Mohd Latiff Zami, 50, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan secara berasingan.

Menurut laporan Bernama, Mohd Shazmeer turut memerintahkan Muhamad Niezam dan Saiful Zaidrin menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala tiga tahun untuk Mohd Latiff.

Selain itu, mahkamah memerintahkan semua tiga tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika mereka gagal membayar denda. Mereka bagaimanapun menjelaskan denda masing-masing.

Mengikut pertuduhan pindaan, Muhamad Niezam dan Mohd Latiff masing-masing didakwa memiliki 0.60g dan 0.20g kanabis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2 di sini kira-kira 7.15 pagi, 10 Okt 2021.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.03g methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa memasukkan dadah jenis THC dan methamphetamine ke dalam badan di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar antara 9.50 hingga 10.05 pagi hari yang sama.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi.

Menurut laporan sebelum ini, ketiga-tiganya ditahan di lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman berkenaan.

Muhamad Niezam sebelum ini terkenal dengan lakonan dalam filem ‘Budak Pailang’ dan ‘Highland Tower’, selain drama seperti ‘Diari Platun’, ‘Dewi Lasak’ dan ‘Mencintaimu’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.